Friday, November 26, 2010

Motivasi dan harapan Perkahwinan

Berkahwin adalah Ibadah


Akad nikah adalah sunnah Rasulullah dan dikira sebagai ibadah dan mendapat pahala. Mencarikan nafkah untuk anak isteri adalah ibadah, melakukan persetubuhan juga ibadah dan mendapat pahala. Jika berlaku sedikit pertengkaran atau perselisihan dalam keluarga, hendaklah ditempuh dengan sabar. Bersabar ketika itu juga mendapat pahala. Janganlah diikutkan perasaan hati dan marah, nescaya akan hancurlah kebahagiaan rumah tangga dan akan berlakulah perceraian.

Motivasi dan harapan Perkahwinan
Walaupun jodoh ditangan Tuhan, pelbagai factor memainkan peranan yang penting untuk mendekatkan seseorang lelaki kepada seseorang wanita dan sebaliknya. Faktor-faktor inilah yang memulakan perhubungan mesra dan seterusnya mematrikan perhubungan itu dengan perkahwinan. Disamping itu terdapat juga beberapa jenis motivasi yang mendorong seseorang itu untuk berkahwin. Kebanyakan motivasi ini disedari oleh individu yang berkenaan. Walaupun begitu masih terdapat beberapa jenis motivasi yang tidak disedari.

Motivasi Perkahwinan
Perkahwinan mengesah, mengiktirafkan dan menghalalkan perhubungan seksual. Disamping itu, perkahwinan juga mempertanggungjawabkan peranan lelaki dan wanita dalam perhubungan seksual ini. Motivasi ini ada kaitan kewujudan estrus yang berterusan di kalangan manusia. Oleh yang demikian perhubungan seksual ini memerlukan kebenaran sah dari institusi sosial berkaitan.

Perkahwinan membolehkan individu lelaki dan wanita membahagikan tugas dan peranan dalam proses penjagaan, pengawalan dan pembelaan. Semua individu tidak kira lelaki ataupun wanita berkeinginan untuk memainkan peranan ini. Dalam konteks perkahwinan, semua ini dapat dilakukan.

Perkahwinan memberi perlindungan kepada wanita yang sedang hamil. Perlindungan ini dengan sendiri menjamin keselesaan dan kesejahteraan kelahiran anak. Pada masa yang sama keselamatan anak dapat dikawal. Keselamatan anak adalah penting kerana proses pembesaran anak memakan masa yang panjang.
Manusia adalah makhluk sosial. Satu aspek utama kesosialan manusia adalah pergaulan yang bebas dan sah. Pada masa yang sama, peraturan pergulan dapat juga diwujudkan. Lagipun dalam konteks perkahwinan dan kekeluargaan pembelajaran sosial dapat dilakukan.

Perkahwinan sama ada disedari ataupun tidak memberi jaminan ekonomi untuk seseorang. Ini bermakna individu yang berkahwin berharap bahawa perkahwinannya ini dapat meningkatkan tahap ekonomi. Bukan sahaja tahap ekonomi dapat dipertngkatkan, tahap sosial juga dapat dinaikkan dalam keadaan-keadaan yang tertentu. Status sosial in pula berkaitan dengan peranan masyarakat yang memberi pengiktirafan yang tinggi kepada pasangan yang berkahwin jika dibandingkan dengan mereka yang terus hidup membujang. Lagipun mereka yang sudah berkahwin dapat perlindungan undang-undang dalam pemberian hak, kuasa dan harta.

Asas Perkahwinan
Perkahwinan dengan orang yang dipilih atau dicintai menghasilkan produktiviti yang lebih jika dibandingkan dengan keadaan membujang. Pada masa yang sama, perkahwinan juga memberikan kebahagiaan dan keseronokan yang lebih kepada individu berkenaan. Di samping itu, perkahwinan membolehkan individu berkaitan mengecapi nikmat yang diidam-idamkan.

Perkahwinan dapat melepaskan individu dari terus mengalami kenerakaan hidup. Dengan pasangan yang berkebolehan memberi kasih sayang, kemesraan dan timbang rasa individu berkenaan dapat mengecapi kebahagiaan dan keseronokan hidup. Walaupun begitu kadangkala perkahwinan melanjutkan penderitaan yang dirasa.

Memenuhi janji hasilan dari perhubungan cinta mesra mencenderungkan individu untuk berkahwin. Malah perkahwinan dianggap sebagai kemuncak atau mercu perhubungan cinta mesra ini. Walaupun erti dan pengalaman cinta itu sendiri begitu cetek dan berbeza sekali. Tetapi yang pastinya ialah perkahwinan itu dianggap sebagai penyatuan dua hati dan jiwa yang bercinta. Ini tidak bererti bahawa semua cinta diakhiri denggan perkahwinan dan semua perkahwinan direstui oleh cinta.

Perkahwinan membolehkan pasangan suami isteri berkongsi membuat keputusan dalam menentukan arus tujuan hidup mereka. Fantasi perkongsian ini mungkin tidak tercapai apabila berhadapan dengan realiti bahawa salah seorang dari mereka adalah lebih dominan dari yang lainnya. Walaupun mereka berhadapan dangan realiti ini, mereka masih meneruskan angan-angan untuk terus hidup mati bersama.

Menghindarkan diri dari ejekan dan tohmahan masyarakat mendesak seseorang itu membuat keputusan terburu-buru untuk berkahwin. Malah kebanyakan perkahwinan adalah hasilan dari desakan sosial ini, terutama sekali bagi mereka yang sudah lanjut usia. Bagi wanita, status andartu begitu menghina manakala bujang terlajak dan pondan begitu mengecilkan bagi teruna. Oleh yang demikian, kedua-duanya membuat keputusan untuk berkahwin walaupun mereka masih belum matang dan bersedia untuk berbuat demikian.

Sebab Perkahwinan
Cinta dan percintaan merupakan sebab pertama dan utama untuk berkahwin. Malah perkahwinan tanpa cinta dianggap satu penyeksaan dan kegersangan dalam hidup. Walaupun begitu ramai yang kurang memahami konsep cinta ini. Yang perlu diingati ialah bahawa cinta itu bukanlah satu perasaan, tetapi aktiviti mental yang berkaitan dengan penterjemahan segala peristiwa yang berlaku dalam alam dan suasana percintaan. Ini bermakna fikiran dan pengalaman berperanan dalam menentukan pernyataan cinta itu.

Ketakutan atau kebimbangan membujang terus menggalakkan individu untuk berfikir secara serius mengenai perkahwinan. Kebimbangan ini ada kaitannya dengan kerisauan keseorangan dan kesunyian dihari tua kelak. Lagipun kemungkinan terbiar tanpa penjagaan dihari tua meningkatkan lagi perasaan bimbang dan takut ini.
Jangkaan timbal balik dalam memberi dan menerima kepuasan menghasilkan perkahwinan yang diidamkan itu terutama sekali dari aspek perhubungan sosial. Memang terdapat satu harapan bahawa kepuasan seksual itu dua hala. Malangnya kadangkala kepuasan itu hanya dinikmati oleh seorang sahaja, manakala yang seorang lagi sentiasa dalam kepanasaran.

Mengandung sebelum bernikah memaksa pasangan lelaki atau wanita terpaksa untuk berkahwin. Motifnya mungkin ingin mengatasi perasaan malu ataupun untuk menyelamatkan maruah keluarga.  Adakalanya perkahwinan yang terdesak ini merupakan satu jalan keluar bagi perhubungan cinta yang tidak direstui keluarga.

Reaksi terhadap kegagalan cinta juga boleh mendesak seseorang itu membuat keputusan untuk berkahwin. Dalam rintihan kelukaan cinta dan ingin membuktikan bahawa dirinya masih diminati, seseorang itu mungkin bertindak untuk mendirikan rumah tangga dengan individu lain yang mungkin tidak dicintai itu. Tetapi sekurang-kurangnya ia dapat menunjukkan kepada bekas kekasihnya bahawa masih ada orang lain yang mengingininya.

Perkahwinan juga mungkin dicetuskan sebagai tanda penentangan terhadap keputusan ibu-bapa yang tidak merestui pilihan jodoh anak-anak yang sudah dewasa. Mereka dengan sengaja ingin menunjukkan kematangan dan keindividuan ini dengan meneruskan rancangan untuk berkahwin, walaupun rancangan itu tidak pernah dipersetujui oleh ibu bapa. Tetapi sebagai tanda kebebasan dan kedewasaan individu berkenaan perlu membuktikan keseriusan hajatnya itu.
Ada individu yang membuat keputusan berkahwin di atas dasar kasihan terhadap pasangannya. Keadaan ini  mungkin diwujudkan oleh kecacatan atau penderitaan yang dialami oleh pasangan berkenaan. Ada semacam keinginan di hati individu berkenaan untuk berbakti dan mengorbankan tenaga, masa dan kasih sayang untuk individu yang dikasihi ini. Adakalanya perasaan kasihan ini dicetuskan oleh keinginan untuk membalas budi kepada individu yang telah menabur budi di awalan perhubungan.

Keperluan kemesraan dan seksual merupakan dorongan yang kuat untuk membantu individu membuat keputusan  berkahwin. Apatah lagi sekiranya pasangan yang akan dikahwini itu mempunyai daya tarikan fizikal yang kuat. Dengan adanya tarikan fizikal ini, individu berkenaan membayangkan kepuasan dan kebahagiaan walaupun diantara mereka berdua tidak ada persefahaman atau kasih sayang.

Akhir sekali kepuasan untuk berkahwin mungkin berpunca dari keinginan untuk mengatasi kesunyian. Diharap dengan perkahwinan ini penderitaan kesunyian dapat diatasi. Malangnya perkahwinan tidak menjamin keriangan. Individu berkenaan mungkin terus kesunyian walaupun dia sudah mempunyai pasangan dalam hidipnya. Kesunyian hanya dapat diatas apabila individu berkenaan dapat mengisi kekosongan dalam jiwanya dengan aktiviti-aktiviti yang menguntungkan dan menyeronokkan. Orang lain tidak dapat melakukan ini. Hnaya individu berkenaan sahaja yang dapat melakukannya.

Asas Pemilihan Pasangan
Pelbagai factor memainkan peranan yang penting dalam pemilihan jodoh. Diantaranya ialah status sosial keluarga, keturunan, agama, paras rupa dan pangkat. Disamping itu ciri-ciri berikut membentuk kea rah pemilihan pasangan yang lebih secocok lagi.

Ciri-ciri Lelaki

Ciri-ciri wanita
Pencapaian
Kecantikan Fizikal
Kepimpinan
Keupayaan Erotik
Keupayaan Kerjaya
Keupayaan Bermesra
Keupayaan Ekonomi
Keupayaan Sosial
Keupayaan Malayan
Keupayaan Domestik
Keupayaan Intelektual
Keupayaan Mengurus
Keupayaan Memerhati
Mamahami Perhubungan
Keupayaan Waras
Manikmati Kecantikan
Keupayaan Atelektik
Keperluan Moral
Kaupayaan Berbincang
Krativiti

Faktor-faktor lain berperanan juga dalam menentukan pilihan pasangan. Di antaranya termasuklah:
1.    pandai menghibur hati,
2.    dapat mamahami hati nurani pasangan,
3.    lemah lembut dan bertimbang rasa,
4.    disiplin, cermat
5.    dan tidak sombong.
Dalam pandangan Islam, pemilihan isteri adalah berasaskan kepada empat perkara iaitu:
1.    harta,
2.    bangsa,
3.    rupa
4.    dan agama,
Tetapi keutamaan diberikan kepada yang beragama.
Manakala pemilihan suami pula dalam islam berasaskan kepada lelaki yang
1.    Bukan penzina
2.    Tidak menyimpan gundik
3.    Yang baik akhlak dan budi pekerti
4.    Yang baik pergaulan
5.    Yang tidak panas baran atau pemarah
6.    Yang bukan pencela, dan suka memukul
7.    Yang tidak selalu cemburu
8.    Yang boleh memimpin Isteri dan keluarga ke jalan yang benar
9.    Yang menghormati dan melindungi isteri.
Dengan membuat pilihan yang bijaksana, keharmonian rumahtangga dapat diasaskan.

Perkahwinan dan Kekeluargaan dalam Islam untuk kursus perkahwinan dan kekeluargaan Islam menurut pandangan Islam, Jabatan Agama Johor (1990).


Wednesday, December 09, 2009

Saturday, November 25, 2006

Umat Islam mundur kerana kurang membaca

oleh
Azrina Sobian
Pegawai Penyelidik
Institut Kefahaman Islam Malaysia
22 Julai 2004

“MEMBACA Santapan Minda Sekeluarga, Bacalah Bersama Keluarga.” Inilah tema Bulan Membaca Kebangsaan 2004.

Kempen ini untuk melahirkan masyarakat berilmu pengetahuan. Oleh itu, pelbagai acara diadakan sepanjang bulan ini bagi mencapai matlamat kempen itu. Tumpuannya ialah diri anda dan keluarga.

Tidak dapat dinafikan bahawa membaca mempunyai pelbagai faedah. Paling utama, membaca akan meningkatkan ilmu pengetahuan seseorang. Tidak kira apa, bahan bacaan, pasti dalamnya terkandung seribu satu ilmu berguna. Bahan bacaan 'serius' lebih digalakkan kerana paparan ilmu yang dihidangkan amat banyak dan tinggi nilainya. Pembacaan yang konsisten akan menjadikan seseorang itu berilmu dan berkeyakinan ketika berbicara.

Membaca juga boleh meningkatkan kemahiran pembaca. Kemahiran paling utama ialah berbahasa. Selain bijak menggunakan kata-kata, seseorang yang gemar membaca juga boleh menguasai kaedah pencarian maklumat terkini.

Selain itu, orang yang gemar membaca ini lebih mahir dalam memberikan idea bernas.

Akhirnya, membaca penting untuk kesihatan otak. Membaca adalah antara kaedah senaman untuk meningkatkan kesegaran, ketajaman dan kebijaksanaan otak. Menurut Dr Abu Bakar Abdul Majeed dalam buku Pembentukan Fitrah Hidup Islam: “Seperti tubuh yang memerlukan senaman, maka otak juga boleh dilatih untuk berdaya tahan dengan senaman. Kaedahnya adalah dengan banyak membaca bahan-bahan yang berfaedah. Kaedah yang paling mujarab ialah menjadikan otak kita otak yang paling kuat bekerja.”

Jelas, bahawa membaca penting dalam kehidupan manusia. Membaca adalah sebahagian daripada proses pencarian ilmu. Keperluan membaca ini selaras dengan tuntutan Islam agar setiap ahli masyarakat tidak jemu mencari dan menuntut ilmu.

Kepentingan membaca bermula sejak awal sejarah kedatangan Islam. Ini merujuk kepada wahyu pertama kepada Nabi Muhammad yang dimulai dengan perintah ‘Iqra' atau ‘bacalah'.

Perintah membaca ini disuburkan Rasulullah kepada setiap umatnya dengan mengajar dan membacakan wahyu yang Baginda terima agar menjadi panduan dalam kehidupan. Seterusnya, budaya pencarian ilmu ini berkembang hingga ke zaman khalifah seterusnya.

Budaya pencarian ilmu mencapai kemuncaknya pada zaman pemerintahan Khalifah Abbasiyyah. Pada masa itu, pusat pengajian ditubuhkan bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Di pusat pengajian ini, pengkaji mengkaji khazanah peninggalan Rasulullah yang terkandung dalam al-Quran dan hadis. Hasil daripada pengkajian itu, mereka berjaya membongkar pengetahuan dalam pelbagai cabang ilmu seperti astronomi, geologi, fizik, kimia, biologi, botani, matematik dan perubatan.

Ketika itu, muncul cendekiawan Islam terkenal seperti Ibnu Sina, al-Farabi, al-Biruni dan al-Khawarizmi.

Itulah zaman kegemilangan keilmuan Islam. Ketika ini, umat Islam mencapai tahap masyarakat pintar. Masyarakat pintar membawa maksud satu masyarakat yang bukan saja pakar dalam ilmu duniawi, malah menguasai ilmu akhirat dengan mendalam.

Jelas bahawa bermula dengan membaca, segala rahsia ilmu pengetahuan boleh dibongkar dan akhirnya mewujudkan masyarakat pintar yang cintakan kepada ilmu pengetahuan, berbudaya pencipta, berilmu tinggi, tidak mudah dijajah dan beriman.

Malangnya, kelebihan membaca untuk memperoleh ilmu tidak berjaya menjadi budaya dalam masyarakat Islam kini walaupun sejarah dunia Islam menunjukkan bahawa mereka gemilang kerana ilmu. Akibat gagal mengambil iktibar ini, masyarakat Islam di seluruh dunia menjadi mundur, terjajah, dikotak-katikkan, bergantung pada orang lain, lemah, suara mereka dipencilkan dan mudah dipengaruhi.

Dalam konteks Malaysia pula, sebahagian besar daripada kita masih belum bersedia menjadikan membaca sebagai gaya hidup.

Berdasarkan ‘Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia (1996) kadar celik huruf di Malaysia adalah tinggi iaitu sekitar 93 peratus. Namun dari segi penggunaan perpustakaan, hanya 29 peratus rakyat Malaysia menggunakan perkhidmatan ini.

Daripada kajian ini juga didapati rakyat Malaysia secara puratanya hanya membaca dua buku setahun dan bahan bacaan yang paling digemari ialah komik. Ini diikuti majalah, buku dan surat khabar.

Dalam kajian itu juga didapati bahawa alasan kepada kurangnya minat membaca ialah ‘tiada masa' dan ‘tidak ada minat'.

Paparan data di atas membuktikan minat membaca di kalangan rakyat Malaysia memang rendah. Jika hendak dibuat perbandingan, rakyat Jepun membaca sekurang-kurangnya dua buku sebulan. Jumlah ini tinggi berbanding di Malaysia.

Kajian itu walaupun dijalankan lapan tahun lalu, ia masih relevan. Namun, kajian yang baru perlu dijalankan untuk melihat perubahannya. Begitu pun, penulis agak pesimistik akan berlakunya perubahan besar atas kajian ini kerana amalan membaca masih belum menjadi budaya rakyat Malaysia.

Oleh itu, janganlah kita membiarkan diri terus leka. Mulalah membaca kerana faedah yang diperoleh daripadanya memang banyak. Jangan menganggap bahawa membaca itu susah atau leceh kerana jika selalu beranggapan sedemikian, maka susah jadinya.

Anda boleh memulakan dengan yang mudah dulu. Bak kata orang, sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. Kevin Eikenberry, seorang jururunding pembelajaran mencadangkan beberapa kaedah mudah untuk meningkatkan pembacaan.

Pertama, selalu membawa buku ke mana-mana kerana anda tidak tahu bila akan memerlukannya. Tentukan juga matlamat pembacaan. Matlamat itu perlulah realistik dan mudah dicapai. Misalnya, anda menetapkan bahawa anda akan membaca satu buku sebulan atau satu bab seminggu dan sebagainya.

Simpan satu log buku yang menunjukkan buku yang dibaca. Log ini akan membuatkan anda berasa bangga dengan pencapaian anda. Pada masa sama, buatkan senarai buku yang ingin dibaca pada masa akan datang. Tanyalah rakan anda buku apa yang menarik untuk dibaca.

Anda juga digalakkan menyertai kumpulan membaca. Perjumpaan boleh diadakan sekali dalam sebulan untuk membincangkan buku yang sedang dibaca. Membaca secara berkumpulan boleh meningkatkan motivasi dan pertukaran idea. Ahli kumpulan boleh daripada rakan, jiran dan paling penting ahli keluarga sendiri.

Kurangkan menonton televisyen. Pergi perpustakaan dan kedai buku dengan lebih kerap. Anda akan mendapat lebih banyak idea mengenai buku yang hendak dibaca dengan mengunjungi tempat sedemikian.

Cadangan terakhir Eikenberry ialah “Drop Everything and Read”. Sempena Bulan Membaca Kebangsaan ini, mulalah membaca sekarang dan jangan tunggu lagi.

Marilah hayati ayat 11, surah Mujadalah yang bermaksud: “... supaya Allah meninggikan darjat orang yang beriman antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (di kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya terhadap apa yang kamu lakukan.”

Ayat ini meyakinkan kita semua bahawa orang yang berilmu mempunyai kedudukan istimewa di sisi Allah dan pastinya akan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.